Sabtu, Disember 19, 2009

Lonkang, Jalan dan Masjid

Longkang dan Jalan di sepanjang Jalan Kulapis-Bebatik sedang dalam proses pembinaan dan pengubahsuaian. Semua longkang akan dibinakonkritkan dan projek pembinaan longkang konkrit ini akan terus beroperasi di Kampong Kulapis yang mengambil masa selama dua tahun. Projek ini bermula pada pertengahan tahun 2009, dan warga Kampong Kulapis menaruh harapan agar projek ini siap pada waktu yang ditetapkan iaitu pada pertengahan tahun 2011.


Jalan Kulapis-Bebatik sebelum
longkang dikonkritkan.


Di Jalan yang sama, longkang dalam
proses dikonkritkan.
Longkang sebelum dikonkritkan.


Kerja-kerja mengkonkritkan
longkang.


Sebelum kerja-kerja
mengkonkrit longkang
dimulakan.







Longkang konkrit di Jalan
Kulapis-Bebatik siap dibina.




Dapat dibayangkan bahawa Kampong Kulapis sedikit masa lagi akan menjadi kampung yang maju, indah, cantik, bersih dan mempunyai warga yang sihat. Ketua Kampong Kulapis, Haji Timor mengingatkan kepada warga kampung seluruhnya, supaya mengambil berat tentang kebersihan kampung. Warga kampung yang prihatin, ada sifat keakuan, dan ada sifat sayang kepada kampung, pasti kebersihan Kampong Kulapis terjamin sepanjang masa, Insya Allah.

Warga Kampong Kulapis amat beruntung, longkang dan jalan sudah diusahakan pembinaan dan pengubahsuaiannya, dan tidak lama lagi Kampong Kulapis akan mempunyai sebuah masjid, seperti yang dicadangkan pembinaannya pada tahun (2010) ini oleh pihak-pihak tertentu. Bererti warga Kampong Kulapis akan terus menikmati kemajuan dan kesejahteraan hidup berkampung. Alhamdulillah, berkat doa warga Kampong Kulapis.
Semua gambar di atas telah dirakam sebelum dan semasa proses pembinaan longkang konkrit di Kampong Kulapis oleh Hj Mohd Jaffar Hj Rais.

Khamis, Oktober 08, 2009

Sejarah Kampong Kulapis

Haji Mohd Jaffar bin Haji Rais @ Haji Munap

Haji Timor bin Limbang

15hb Julai 2009



Introduksi

Kampong Kulapis terletak di bawah Mukim Sengkurong, Daerah Brunei dan Muara, dan kira-kira 21 kilometer melalui Jalan Tutong ke Bandar Seri Begawan. Kampong Kulapis bersempadan dengan lima buah kampung, iaitu Kampong Katimahar, Kampong Tanjong Nangka, Kampong Melaut, Kampong Bebatik dan Kampong Batong. Kampong Kulapis berbukit-bukau, berhutan, bertanah pamah dan berpaya. Sebatang sungai Damuan yang mengalir dari hulu sungai Kulapis ke sungai Kampong Ayer di Bandar Brunei. Luas Kampung Kulapis ialah 486.71 hektar, dan hampir separuh daripada keluasan itu masih kekal dengan kekayaan alam semula jadi.


Damuan

Pada zaman sejarah awal Brunei, Kampong Kulapis juga dikenali dengan nama `Damuan’. Damuan merupakan sebuah penempatan penduduk yang terawal di sepanjang pesisir tebing sungai Damuan, iaitu bermula dari hulu sungai Damuan di Kampong Kupang dan Ikas hingga ke hilir sungai di Kampong Bebatik. Dewan Bahasa Dan Pustaka, Brunei (1976) memetik maklumat dari buku-buku sejarah Brunei bahawa, pada 8hb Julai, 1846, Damuan pernah menjadi tempat kubu pertahanan Haji Saman dan Sultan Omar Ali Saifuddin II menentang Inggeris di Brunei. Letak lokasi kubu pertahanan menentang Inggeris itu ialah di hulu sungai Damuan, 15 batu jauhnya dari Bandar Brunei. Haji Saman adalah seorang penasihat Sultan Omar Ali Saifuddin II. Sungai adalah merupakan komunikasi penting antara Damuan dengan Bandar Brunei, dan angkatan Haji Saman menggunakan sungai ini untuk sampai ke Damuan. Damuan adalah kubu sementara Haji Saman dan Sultan Omar Ali Saifuddin II menentang Inggeris.



Hulu Sungai Damuan di Kampong Kupang


Para peniaga seperti pengalu juga menggunakan sungai ini untuk sampai ke kampung-kampung yang berada di hulu-hulu sungai Damuan. Penduduk Damuan yang tidak mempunyai perahu, mereka berjalan kaki dan menunggang kerbau merentas hutan untuk sampai ke Bandar Brunei. Kerbau adalah sebilangan kenderaan tradisi orang kampung pada zaman itu. Barang dagangan mereka berupa kraf tangan, hasil hutan dan pertanian dimuatkan dalam `gubang’ yang ditarik oleh kerbau untuk dijual ke Bandar Brunei. Tradisi perdagangan ke kampung-kampung telah pun dipopularkan oleh padian dan pengalu, ...mereka merupakan pedagang atau peniaga setempat yang menjalankan perdagangan cara lama atau tradisi sejak berkurun-kurun yang silam. Pengalu menjalankan aktiviti perdagangan di persisiran pantai atau sungai-sungai dengan cara pertukaran barang atau sistem barter, sementara padian lebih menetap di suatu tempat terutamanya di Kampong Ayer (Zainuddin Hassan, 1992: 37).



Pangkalan Tinggi Damuan tempat persingghan pengalu


Sungai Damuan adalah sungai yang digunakan oleh pengalu untuk sampai ke Kampong Kulapis. Di antara pangkalan yang menjadi tempat orang kampung pendalaman (sebagai pembekal) menunggu pengalu ialah di menglait, Kiarong, Tungku, Limau Manis, Junjungan, Sinarubai, Masin, dan Lugu (Zainuddin Hassan, 1992: 46). Peniaga-peniaga dari kampung-kampung ini mengalu-alukan kedatangan pengalu. Peniaga Kampong Kulapis menggunakan Pangkalan Damuan dan Pangkalan Tinggi Damuan sebagai tempat mengalu-alukan kedatangan pengalu dari Bandar Brunei. Barang dagangan yang dibawa oleh pengalu ..ialah seperti, tembikar, porselin, barang-barang tembaga, perak, kain `Asap’, kain sutera berwarna-warni, kain kasa, kiap (Mohd Jamil Al-Sufri, 2000: 5), dupa iaitu damar wangi, periuk-periuk besi, ikan kering, dan ikan masin untuk ditukarkan (sistem barter) dengan padi atau beras, buah-buahan, sayur-sayuran, kapur barus, kayu cendana, lalap daging kerbau, payau, pelanduk, kijang, dan bahan kraf tangan seperti bakul, susun, bayung, nyiru, takiding, bahai, lasuk, tikar mengkuang dan tikar bamban dari peniaga Kampong Kulapis. Semua barangan ini diperlukan oleh orang Brunei di Kampong Ayer. Cara berjual-beli barang-barang tersebut menggunakan `sistem barter’ sebilangan lagi orang Brunei menggunakan wang untuk membeli dan menjual barangan dagangan mereka. Daripada riwayat Pigafetta, dapat disimpulkan bahawa perdagangan pada abad ke-16 ialah percampuran antara cara bertukar barangan (barter) dan menggunakan wang syiling yang disebut `pitis’..(Zainuddin Hassan, 1992: 41). Perniagaan sistem wang telah pun bermula pada abad ke-16 dan sistem barter juga digunakan hingga abad ke-19, dan sistem barter berakhir setalah sistem wang berleluasa digunakan oleh peniaga seperti padian dan pengalu. Mereka adalah peniaga yang membawa dan meningkatkan kemajuan penggunaan sistem wang ke kampung-kampung termasuk Kampong Kulapis.



Ikan Kulapis Jadi Kampung


Kira-kira pada pertengahan abad ke-19, nama `Damuan’ telah ditukar kepada `Kampong Kulapis’ hinggalah ke hari ini. Kulapis adalah mengambil sempena nama `anak ikan bekalang’. Orang kedayan Kampong Damuan menamakan anak ikan bekalang atau anak lauk bekalang ialah `kulapis atau lauk kulapis’. Pada zaman itu, satu peristiwa telah berlaku di hulu sungai Kampong Damuan, iaitu sekumpulan besar ikan kulapis telah pun dibawa oleh arus air pasang masin ke hulu sungai Damuan sehingga menghalang para peniaga Kampong Damuan yang hendak menuju ke `Pangkalan Damuan’. Sekumpulan besar ikan kulapis ini telah ditemui pada `waktu duha’ (sambat) oleh beberapa orang peniaga Damuan yang hendak pergi ke pangkalan-pangkalan perniagaan. Ikan-ikan kulapis itu hampir menutup permukaan sungai hingga sukar untuk dilalui oleh perahu para peniaga dan mereka terpaksa membatalkan hajat mereka untuk pergi ke dua buah pangkalan Kampong Damuan selama tiga hari.





Hulu Sungai Damuan yang pernah dipenuhi `lauk kulapis'


Pada hari pertama peristiwa penemuan ikan kulapis yang luar biasa banyaknya itu telah pun dikhabarkan kepada penduduk Kampong Damuan, dan mereka pun berduyun-duyun menghampiri tebing hulu sungai Damuan untuk melihat kejadian yang mereka fikirkan ajaib itu. Peristiwa kehadiran ikan kulapis itu telah pun menjadi bahan cerita ke rumah-rumah penduduk Kampong Damuan hinggalah tersebar luas ke kampung-kampung lain yang berdekatan. Berhubung dengan kejadian itu, Ketua Kampong Damuan dan sekalian penduduknya bermuzakarah, dan akhirnya mereka sepakat mengadakan majlis `baca doa selamat dan tolak bala’ dengan tujuan menjaga keselamatan dan kesejahteraan kampung. Setahun setelah peristiwa itu berlalu, penduduk Kampong Damuan hidup dalam keadaan makmur. Kemunculan ikan kulapis di hulu sungai Damuan yang tidak terkira banyaknya itu membawa tuah kemakmuran kepada masyarakat kampung, dan atas kejadian itu telah menjadi bahan cerita yang menarik di kalangan orang-orang tua ketika itu.


Makan Tahun

Mengambil sempena tuah ikan kulapis itu, maka masyarakat kampung setempat sepakat menamakan Kampong Damuan menjadi Kampong Kulapis. Nama Kampong Kulapis membuka senario baru kepada penduduk kampung, mereka hidup dalam harmoni serta berjaya dalam perniagaan, dan kaya dengan hasil pertanian dan ternakan. Demi memperingati peristiwa ikan kulapis itu, setiap tahun penduduk Kampong Kulapis mengadakan majlis `baca doa selamat dan tolak bala’ dan akhirnya mereka namakan majlis ini kepada majlis `makan tahun’ yang dikepalai oleh ketua kampung.

Proses awal menyediakan majlis `makan tahun’ ialah membina beberapa buah teratak secara bergotong-royong yang dapat memuatkan semua warga kampung tanpa diskriminasi. Kedua, warga wanita cara sukarela beramu (mengambil) `daun nyirik’ dan `daun telamba’ untuk bahan menjalin dan membukus `kalupis’, dan mereka juga memungut dan mengumpul buah piasau (kelapa) untuk santan. Kaum lelaki mengambil kayu kulimpapa untuk bahan api memasak makanan. Semua kerja dapur untuk `makan tahun’ didominasi oleh wanita, dan lelaki juga membantu menguar nasi dan mendadih kelupis dalam kawah. Masing-masing warga kampung membawa beras, rempah-ratus, dan bahan mentah lain seperti, kerbau, kambing, ayam, dan gulai (sayur) umbut piasau. Tidak ada sistem kos atau sistem derma berupa wang untuk membeli bahan-bahan keperluan makanan `makan tahun’, hanyalah menggunakan `sistem bawa’ dari masing-masing individu untuk makan bersama. Menu majlis `makan tahun’ hanyalah berupa kalupis, gulai umbut dan daging dimasak kunyit atau kari. Kuih tradisional panyaram dan wajid, serta minuman teh dan kopi juga dihidangkan dalam majlis ini.

Kejayaan dan kesempurnaan majlis `makan tahun’ ini menggambarkan sifat masyarakat Kulapis Kedayan atau Kedayan keseluruhannya adalah etnik yang bertanggungjawab, baik hati, pemurah, dermawan, dan tolong-menolong menjadi budaya turun temurun. Majlis `makan tahun’ telah pun menjadi budaya masyarakat Kampong Kulapis atau masyarakat Kedayan, dan majlis ini diadakan pada tiap-tiap selesai menuai padi atau mengetam padi. Sejak itu, nama Kampong Damuan hari demi hari, hilang dari sebutan penduduk setempat, dan hinggalah pada hari ini nama Kampong Damuan tidak disebut-sebut lagi, hanyalah tinggal sebuah nama `Sungai Damuan’.


Etnik Kulapis dan Pekerjaan Awal

Etnik Kampong Kulapis adalah etnik Kedayan, dan pekerjaan mereka ialah bertani dan menternak. P.M. Shariffudin (1969: 15) mengatakan,

`All Kedayans are muslims and have been muslims

in all their tradition. ...the Kedayans preffer traditional

occupations, especially agriculture’.

Etnik Kedayan adalah beragama Islam. Agama Islam menjadi amalan tradisi hidup mereka turun temurun. Konsep etnik Kedayan ialah bekerja keras, titih, rajin, baik hati, berbudi pekerti, sopan santun, suka tolong-menolong, dan setiap kerja kebajikan sentiasa berpandukan kepada unsur-unsur Islam.

Pertanian utama yang diusahakan oleh warga Kampong Kulapis ialah bertanam padi, padi sawah dan padi bukit atau `padi tugal’ selain daripada bertanam jagung dan menternak kerbau, kambing dan ayam. Mereka juga mempunyai dusun buah-buahan yang luas di tanah milik mereka. Sawah ialah kawasan tanah yang berpaya, dan subur serta ada saliran air dari sungai ke sawah padi.

Kawasan-kawasan belukar berbukit dan berpaya yang digunakan untuk bersawah padi dibersihkan dengan cara bergotong-royong di antara masyarakat Kampong Kulapis sendiri. Beberapa hari kemudian, belukar yang siang ditebaskan itu ditunu (dibakar) supaya rumput dan pokok yang hangus menjadi baja tanaman. Belukar yang berbukit adalah khas untuk menanam semaian padi atau padi tugal. Di kawasan semaian padi ini juga ditanam jagung dan sayur-sayuran seperti bayam dan timun. Jagung sangat penting untuk menampung keperluan harian mereka sementara menanti padi dapat dituai.

Sementara semaian padi belum tinggi, masyarakat Kampong Kulapis sekali lagi memucang-mucang (tolong-menolong) menebas bendang sawah secara bergilir-gilir di antara mereka sendiri. Selang beberapa hari kemudian, tebasan sawah dibakar dan tanah ditiwar (disabit) dengan sabit. Semua sawah dibuat batas (permatang) untuk menakung air, dan kemudian dibajak menggunakan kerbau hingga bendang sawah menjadi lumpur. Dalam proses membajak petani memulakan kerja-kerja menanam semaian padi mereka di sawah. Selidap (orang-orang), carangin, dan telinting yang dibuat daripada buluh mempunyai berbagai-bagai jenis bentuk dan nama seperti `telinting ambat’, `telinting wak-wak’, dan `telinting mamar’ dipasang di merata tempat sawah padi. Telinting buluh ini mengeluarkan bunyi bising untuk menghalau burung atau binatang perosak padi dengan cara menggerakkan atau ditarik-tarik menggunakan tali (tali timbaran dan rotan) yang dihubung terus dari junjung atau sulap padi. Dalam proses padi berbunga dan berbuah dijaga rapi, dan rumput-rumput yang mula tumbuh di celah-celah rumpun padi dicabut dan dibuang setiap minggu hinggalah pada musim padi masak menguning.




Durung padi yang masih wujud di Kampong Kulapis



Musim menuai atau mengetam padi adalah musim sosial yang menggembirakan di kalangan masyarakat Kampong Kulapis terutamanya apabila tanaman padi mereka membuahkan hasil yang baik. Semua petani Kulapis memberi bantuan secara sinergi bergilir-gilir di kalangan masyarakat kampung dan mereka menetapkan hari untuk mengetam padi beramai-ramai. Padi yang dituai disimpan sementara di kerantiang junjung atau sulap. Selesai menuai, padi di junjung diangkut ke durung padi yang berhampiran rumah kekal mereka. Setelah semua urusan pengangkutan padi ke durung selesai, dan beberapa minggu kemudian, masyarakat kampung menetapkan hari `makan tahun’. Tradisi `makan tahun’ selepas menuai padi disempurnakan dengan majlis `bertahlil dan doa kesyukuran’. Acara `makan tahun’ dikepalai oleh ketua atau penghulu kampung.


Ketua Kampong Kulapis

Kampong Kulapis mempunyai ramai penduduk dan perlu seorang pemimpin yang berwibawa untuk menjaga kestabilan masyarakat setempat. Pada abad ke-20 masyakat Kampong Kulapis telah menyedari betapa pentingnya tenaga seorang ketua untuk memimpin kesejahteraan mereka. Cara yang paling mudah untuk mendapatkan ketua kampung ialah dengan cara budaya muzakarah di kalangan masyarakat kampung. Orang yang akan dipilih menjadi ketua kampung ialah seorang individu yang pernah berjasa dan berpengaruh di kalangan masyarakat kampung itu sendiri. Pada tahun 1950an, Awang Haji Aspar bin Kassim telah dilantik sebagai ketua Kampong Kulapis dan beliaulah orang yang pertama menyandang gelaran sebagai Ketua Kampong Kulapis tanpa gaji atau elaun kerja dari mana-mana pihak. Setelah beberapa tahun beliau bertugas sebagai Ketua Kampong Kulapis, beliau pun berhajat menunaikan `Fardu Haji’ ke Makkah pada tahun 1957, dan beliau meninggal dunia dalam pelayaran menuju ke Makkah.

Setelah Haji Aspar bin Kassim meninggal dunia pada tahun 1957, penduduk Kampong Kulapis telah sebulat suara memilih Awang Puasa bin Mohammad menjadi Ketua Kampong Kulapis. Beliau menyandang tugas ini adalah secara sukarela sehinggalah pada tahun 1960 beliau diberi elaun khas oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Mulia Sultan Omar Ali Syaifuddin III, Sultan yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam. Awang Puasa bin Mohammad bersara pada tahun 1967, dan digantikan pula oleh Awang Haji Hussin bin Orang Kaya Jumat. Beberapa tahun beliau bertugas sebagai Ketua Kampong Kulapis, beliau pun meninggal dunia pada tahun 1978.


Haji Nayan bin Apong


Awang Haji Nayan bin Apong telah pun dilantik sebagai Ketua Kampong Kulapis pada 01hb April 1978. Beliau berkhidmat selama dua puluh sembilan tahun hingga bersara pada 16hb Januari 2007. Awang Haji Nayan anak jati Kampong Kulapis yang paling lama menyandang sebagai ketua kampung. Beliau terkenal dengan projek pertanian Bukit Panjang yang bernama `Koperasi Ladang Komunal Kelompok Hijau' di kalangan kampung-kampung lain seluruh Negara Brunei Darussalam. Awang Haji Nayan juga telah aktif dalam bidang seni budaya, dan alat muzik tradisional yang beliau gemari ialah `geruding’ dan `gendang kayu sedaman’. Tarian yang popular dipersembahkan oleh kumpulan tarian beliau di acara nasional ialah tarian `Aduk, Aduk’.


Haji Timor bin Haji Limbang


Ketua Kampong Kulapis yang baru ialah Awang Haji Timor bin Limbang yang dilantik secara demokratik pada 17hb Januari 2007. Prinsip beliau lebih menumpukan perhatian kepada kesejahteraan warga kampung terutamanya `anak-anak yatim’, `warga miskin’ dan `orang kelainan upaya’. Warga yang kurang bernasib baik ini diberi bantuan mengikut kutipan dana yang ada. Beliaulah ketua kampung yang pertama menganjurkan majlis derma anak yatim di Kulapis. Beliau juga mengutamakan kesihatan warga kampung dengan menganjurkan aktiviti senam aerobik, walkathon, dan basikalton. Awang Haji Timor sering mengepalai kerja-kerja kebajikan dan majlis-majlis kebajikan kampung seperti kerja-kerja pembersihan perkuburan Islam, majlis tahlil, doa selamat, majlis pernikahan dan bersanding. Pendek kata, beliau terlibat langsung dan menghadiri dalam hal ehwal majlis suka-duka masyarakat kampung. Celik komputer membantu beliau lebih efisien dan kompeten dalam menangani kerja-kerja dan urusan-urusan untuk kepentingan masyarakat kampung dan Kampong Kulapis khasnya. Awang Haji Timor adalah ketua kampung yang komited dengan tugas-tugas kampung yang diamanatkan kepada beliau.


Infrastruktur

Kemudahan dan perkhidmatan asas seperti kemudahan pengangkutan taksi dan bas awam dari Kampong Kulapis ke Bandar Seri Begawan berjalan mengikut jadual setiap hari. Jalan raya berturap memudahkan warga kampung berhubung ke tempat-tempat penting atau ke tempat-tempat kerja masing-masing. Anak-anak penduduk Kampong Kulapis bersekolah di Sekolah Rendah Awang Haji Mohammad Yussof Katimahar, dan pelajar menengah menuntut di Sekolah Menengah Masin dan Sekolah Menengah Saiyiddina Hussin di Jerudong. Pelajar-pelajar Kampong Kulapis yang cemerlang menuntut di Kolej-kolej Pendidikan Tinggi dan di Universiti-unversiti luar dan dalam negeri.

Klinik Sengkurong adalah pusat kesihatan penduduk Kampong Kulapis selain daripada penduduk-penduduk kampung lain. Bekalan elektrik, air, dan telefon adalah kemudahan asas paling penting bagi meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup penduduk Kampong Kulapis.

Warga kampung yang bekerja dengan sektor awam juga menikmati kemudahan pinjaman wang dengan kerajaan untuk digunakan membuat rumah dan membeli kereta. Bank-bank swasta juga memberi khidmat pinjaman wang bagi membantu kemudahan warga kampung untuk keperluan peribadi.

Pada zaman milenium ini, masyarakat Kampong Kulapis terutamanya generasi baru juga tidak ketinggalan menikmati kemajuan dan perkembangan `Teknologi dan Informasi’. Ramai warga Kampong Kulapis mempunyai komputer peribadi bagi memudahkan mereka menjalankan tugas-tugas penting dan mereka juga menggunakan komputer sebagai instrumen mencari dan menambah ilmu.


Penduduk dan Sosioekonomi

Jumlah penduduk Kampong Kulapis pada masa kini ialah seramai 1,708 orang, dan 1,602 orang adalah beragama Islam. Seramai 106 orang lagi menganut agama-agama lain.


Jadual Pecahan Penduduk

Jadual (a): Orang Dewasa


Orang Dewasa Berumur 31 Tahun ke Atas

Laki-Laki

378 Orang

Perempuan

395 Orang

Jumlah: 773 Orang



Jadual (b): Remaja

Remaja Berumur 13-30 Tahun

Laki-Laki

290 Orang

Perempuan

212 Orang

Jumlah: 502 Orang



Jadual (c): Kanak-Kanak

Kanak-Kanak Berumur 13 Tahun Ke Bawah

Laki-Laki

229 Orang

Perempuan

204 Orang

Jumlah: 433 Orang



Keramaian keseluruhan bagi penduduk Kampong Kulapis ialah 1,708 orang (perhatikan Jadual Pecahan Penduduk (a), (b), dan (c) seperti yang dipaparkan di atas). Majoriti masyarakat Kampong Kulapis bekerja dengan sektor awam dan swasta, dan ramai juga di antara mereka terlibat dalam aktiviti perniagaan. Sebilangan kecil lagi masyarakat Kampong Kulapis bertani dan menangkap ikan sebagai kegemaran masa lapang mereka, dan hasil aktiviti ini hanyalah sekadar untuk memenuhi sara diri.

Sebanyak 212 buah rumah yang dibina oleh penduduk Kampong Kulapis di tanah mereka masing-masing, dan rata-rata mereka mempunyai rumah yang konkrit dan kekal. Di dalam beberapa taburan kelompok masyarakat Kampong Kulapis ini ada dua buah kedai runcit, tiga buah kedai tukang jahit, sebuah kedai makan, dan sebuah kedai tukang gunting rambut. Semua kedai ini memberi kemudahan kepada masyarakat kampung membeli-belah barangan keperluan harian mereka. Masyarakat Kampong Kulapis amat bersyukur atas kewujudan sebuah Kilang Rempah, dan produk kilang ini dijual di merata tempat di kedai-kedai bandar dan di kampung-kampung lain.



Bibliografi

Dewan Bahasa dan Pustaka (1976). Sejarah Brunei untuk Tingkatan

Menengah Rendah. Percetakan Brunei Berhad, Kuala Belait.

Mohd Jamil Al-Sufri (2000). Latar Belakang Sejarah Brunei. Perdagangan

Borneo (Sdn) Berhad, Brunei.

P.M. Shariffuddin (1969). Brunei Museum Journal, Vol. 1, No.1. The Star

Press, Brunei.

Zainuddin Hassan (1992). Pusaka, Bilangan 5. Jabatan Pusat Sejarah, Brunei.

Haji Timor bin Limbang (penyumbang maklumat sejarah Kampong Kulapis).




Khamis, September 24, 2009

Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-Anak Yatim Kampong Kulapis



Ketua Kampong Kulapis, Yang Mulia Awang Haji Timor bin Haji Limbang penyampaikan sekapur sirih kepada majlis yang hadir.





Majlis Penyampaian Derma Anak-anak yatim dan berbuka puasa Kampong Kulapis telah diadakan pada 25 Ramadhan 1430H/15 September 2009, jam 4.30 petang di Rumah Ketua Kampong Kulapis, Awang Haji Timor bin Haji Limbang. Tetamu Kehormat di majlis ini ialah Yang Mulia Awang Haji Haris bin Othman, Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Negara Brunei Darussalam. Majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim di Kampung Kulapis adalah kali yang ketiga sejak Awang Haji Timor dilantik sebagai Ketua Kampong Kulapis. Beliau sangat menitikberatkan kesejahteraan anak-anak yatim, warga emas dan seluruh masyarakat Kampong Kulapis.




Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Yang Mulia Awang Haji Haris bin Othman sedang memberi ucapan kepada anak-anak yatim dan para hadirin.




Senarai Anak-anak Yatim Kampong Kulapis.

Muhamad Izzuddin bin Rousali
Mohammad Jeehan bin Haji Roslan
Muhammad Jufeehan bin Haji Roslan
Muhammad Jefreehan bin Haji Roslan
Aireen Najwa bt RousaliNoorefeehan bt Haji Roslan
Amal Haziqah bt Haji Jamil @ Farhah
Darratun Nabihah bt Haji Jamil @ Ezzatul `
Athiyyah bt Haji Jamil @ Alawiyah


Galleri Penyampaian Derma
kepada anak-anak yatim
























Dalam majlis ini ramai yang turut menderma kepada anak-anak yatim seperti Awang Haji Zainal bin Haji Safar, Awang Haji Mohammad Ahmad bin Bohari, Haji Isa bin Haji Kahar dan ramai lagi dermawan-dermawan yang lain yang prihatin di Kampong Kulapis ini. Kira-kira seramai seratus orang telah menghadiri majlis ini termasuk warga emas Kampong Kulapis. Majlis ini telah disempurnakan dengan `majlis tahlil dan doa arwah’ yang pimpin oleh Imam Masjid Kampung Katimahar, Awang Haji Isa bin Haji Saban.





















Ketua Kampung, Awang Haji Timor mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua dermawan yang bermurah hati, Tetamu Kehormat Majlis, Imam Masjid Kampong Katimahar dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampong Kulapis di atas sokongan dan kerjasama mereka, semoga Allah Subahanahu Wataala juga akan melimpahkan Rahmat serta Inayahnya kepada kita semua, Amin.

Isnin, Julai 20, 2009

Info Sukan Basikalton


Kampong Kulapis telah menganjurkan aktiviti basikalton
pada bulan Jun, 26 2009 jam 7.00 pagi. Aktiviti ini sebagai aktiviti tahunan bagi warga Kampong Kulapis yang diselenggarakan oleh MPK Kulapis. Peserta basikalton adalah kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan juga warga emas. Mereka berbasikal sejauh 20 kilometer bermula dari rumah ketua kampung hingga ke Taman Mini Perayaan Kampong Parit, dan pusing semula ke tempat penamat di rumah ketua kampung. Peserta kanak-kanak berbasikal sejauh 5 kilometer ditemani oleh orang tua mereka. Polis dan Bomba juga berada dilokasi memberi bantuan keselamat di jalan raya.










Ketua Kampong Kulapis melepaskan peserta.












Peserta remaja.















Action...
















Bah dahulu tah.. aku membubut..








Galeri Acara Basikalton.

Awang Abbas memberi taklimat.






Awang Mohammad Darus menunjukkan
aksi senam aerobik kepada peserta.







Haji Mohd Taib Jaafar sedang fokus.














Aksi peserta basikalton











Sabtu, Jun 20, 2009

Aktiviti Walkathon 2009

Majlis Perundingan Kampong Kulapis telah mengadakan aktiviti walkathon pada 19hb Jun 2009, jam 7.00 pagi. Ramai warga kampung, termasuk kanak-kanak, para remaja, orang dewasa, dan warga emas lelaki dan perempuan ikut serta dalam aktiviti riadah pada hari tersebut. Semua peserta bergambar ramai sebelum acara dimulakan pada pagi itu.

Peserta walkathon bergambar ramai.






Peserta kanak-kanak sedang mendengar taklimat.







Peserta menanti arahan..






Acara walkathon dimulakan dengan senam robik.




Mula... ikut gaya ku.... Mohd Darus.









Peserta beraksi








Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir melepaskan peserta di garis permulaan walkathon.














Peserta bergerak ke garis penamat.









Peserta menerima hadiah yang disampaikan oleh Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir.









Galeri walkathon 2009, Jun 19.




Kanan: Kertua Belia dan Sukan Kampong Kulapis, Awang Abbas bin Haji Tanjong.
Baju Hitam: Ketua Kampung Kulapis, Haji Timor Haji Limbang.





Biro Excutive Wanita Kampong Kulapis. Noriani Haji Badzawie (kiri), Hjh Siah Hj Dollah (tengah), dan Hjh Urai (kanan).








Ketua Kampong Mulaut, Awang Haji Jait bin Hitam, dan Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir.







Haji Amat sedang membuat aksi senam robik.








Nombor dua dari kiri: Pengiran Haji Aji bin Pg Hj Seruddin.






Oii apa yang didungak tu..?????








Sedia sudah kami ni...








Kami pun sudah sedia ni...








Aaaaahh...








Eeeeee.....h











Oooooo..h