Selasa, Mac 16, 2010

Negara Zikir: Pembinaan Sekolah Agama dan Masjid

Baginda bertitah, `adakah disebabkan masalah peruntukan atau memang sengaja di lambat-lambatkan'.

Allahuakhbar!.. Allahuakhbar!.. Allahuakhbar!..
Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam aman dan tenteram. Rakyatnya hidup harmoni dan kondusif. Semua ini hasil dari seorang Raja yang proaktif, produktif, kompetens, efektif, inisiatif, adil dan bijaksana memimpin rakyat, agama dan Negara. Antara lain inisiatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ialah membentuk sebuah `Negara Zikir’ yang membuka jalan kepada rakyat supaya senantiasa ingat dan bersyukur kepada Allah yang memberi rahmat-Nya. Baginda tidak diam dengan `slogan Negara zikir’ sahaja, baginda menaroka jauh bagi melihat nilai positif dan negatif beragama. Ternyata Baginda nampak banyak aspek kejengkelan berlaku di institusi-institusi kerajaan dalam hal ehwal keagamaan yang perlu ditinjau semula. Misalnya, Sistem SPN21 Kementerian Pendidikan membiarkan pelajaran agama sebagai subjek pilihan di sekolah-sekolah rendah dan menengah, Maktab Jururawat meniadakan pendidikan agama, Universiti dan Maktab kurang mementingkan pendidikan agama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada suatu ketika mengadakan `gala night’ yang sedikit meninggalkan nilai-nilai murni agama islam. Pembinaan Sekolah Al-Falaah sangaja dilambat-lambatkan tanpa kajian dan alasan konkrit.

Perkara-perkara kejengkelan separa atau non-praktik pendidkan agama di institusi-institusi penting ini telahpun dibangkitkan oleh baginda semasa berangkat mengadakan lawatan kerja ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Sekolah Al-Falaah (SAF) pada 27 Januari 2010. Baginda juga menyentuh nilai sosial yang negatif, misalnya keruntuhan `akhlak manusia’ yang melibatkan hampir semua peringkat umur dan menjadi penyakit sosial dalam masyarakat umum di Negara Brunei Darussalam. Mengapa? Masalah ini berlaku dari efek selama 50 tahun, sistem persekolahan agama tidak wajib berlansung begitu saja tanpa membuat penyelidikan oleh pegawai-pegawai agama yang dipertanggungjawabkan, seperti yang disabdakan oleh Kebawah DYMM Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa lawatan kerja baginda ke KUPU SB dan SAF:

"Selama 50 tahun, sistem persekolahan agama tidak wajib, ini telah berlangsung, sedikit Beta ingin bertanya, pernahkah pihak berkenaan membuat kajian dan menjadikannya statistik?.

Hairan, selama 50 tahun Institusi seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, NB dan Institusi-institusi yang berkaitan dengan pendidikan agama ini, kurang inisiatif untuk membuat penyelidikan, walhal kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringit untuk pegawai-pegawai menimba ilmu bagi kepentingan agama dan Negara.

Lima puluh tahun bukanlah masa yang singkat. Masa 50 tahun yang panjang dan cukup dewasa ini membentuk tabiat `malas ku ingau’ di kalangan pegawai-pegawai kerajaran ataupun mereka dibuai dek gaji yang lumayan hingga lupa pada tugas-tugas Negara yang diamanatkan kepada mereka. Dilihat pada sudut lain bererti mereka juga kurang sifat insaniah dan tidak malu kepada Allah SWT atas pengabaian mereka selama 50 tahun itu.

Bukan Sekolah Al-Falaah saja yang menerima pengabaian pembinaannya, tetapi projek pembinaan beberapa buah masjid juga menerima nasib yang sama. Titah Baginda Sultan seperti:

"Projek pembinaan beberapa masjid telah pun dirancang bertahun-tahun dan bahkan telah masuk ke Majlis Agama Islam namun ia tidak lagi di dengar ceritanya."

Pengabaian pembinaan masjid inilah yang amat sangat mengecewakan warga Kampong Kulapis, dan sudah lebih 10 tahun, bak titah Baginda Sultan `terkatung-katung’. Tapak pembinaan masjid dikenal pasti dan tersedia untuk penempatan sebuah masjid yang diharapkan oleh warga kampung. Surat sokongan atau pemberitahuan bagi membina sebuah masjid Kampong Kulapis daripada pihak tertentu sudah diterima oleh Ketua Kampong Kulapis. Hanya Pembinaan masjid saja belum ditentukan oleh mana-mana pihak. Hari demi hari, menanti kontraktor pembinaan, belum juga muncul dan tapak masjid terus menghutan. Dalam penantian itu, satu persatu warga emas kembali dijemput Allah SWT sebelum terbinanya sebuah masjid yang pernah mereka perjuangkan untuk kewujudannya di kampung kelahiran mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan ahli-ahli Syurga. Amin, Amin, Amin YaRabal `Alamin. AL-FATIHAH.

Alhamdulillah, Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Ahli-ahli Lembaga Pengelola Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Bagi Daerah Brunei dan Muara (Sesi Kedua) pada 13 Mei 2009, di Mukim Sengkurong, warga Kampong Kulapis sedikit lega dan senyum, kerana dijanjikan bahawa masjid Kampong Kulapis akan mula dibina pada tahun 2010. Dalam masa yang sama warga Kampong Tanjung Nangka juga ikut bersyukur, kerana akan mempunyai masjid di tahun yang sama iaitu tahun 2010. Warga kedua-dua kampung ini sangat mengharapkan janji-janji itu menjadi kenyataan, dan harap bukan lagi `lips service’ dari pihak tertentu yang bermain sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negara Brunei Darussalam dengan tegas meminta perhatian dari semua pihak berkenaan, bahawa Baginda menggunakan dasar dakwah, nasihat dan mesyuarah ini bagi mengingatkan para pegawai yang memegang amanah kerajaan. Peringatan ini juga pasti dapat menghapuskan budaya `seperti pahat dengan penukul’ yang diamalkan di kalangan pegawai kerajaan.

Dasar dakwah ini patut diambil berat oleh pihak-pihak tertentu dengan tidak melengah-lengahkan pembinaan masjid-masjid yang telah diluluskan atau dijanjikan kepada kampung-kampung yang patut bermasjid. Masjid tetap memainkan peranan penting, kerana masjid adalah pusat dakwah yang terunggul sejak zaman Rassulullah SAW hinggalah ke zaman ini dan ke zaman-zaman seterusnya, iaitu selagi ada masjid yang berdiri serta bertambah bilangan pembangunannya. Beruntunglah kampung-kampung yang bermasjid sekurang-kurangnya warga kampung ada ruang untuk berdakwah, beribadah, berjemaah, beriktikaf dan beramal soleh bagi memakmurkan masjid-masjid mereka. Sesuai yang diamalkan oleh Rasulallah SAW, seperti cerita Ka’ab bin Malik bahawa kebiasaan Rasulallah SAW, ialah beliau akan pulang dari perjalanan pada waktu dhuha, dan apabila Baginda sampai, mula-mula beliau akan ke Masjid. Baginda akan menunaikan solat dua rakaat dan kemudiannya duduk di Masjid (HR Muslim). Hadith Rasulullah SAW ini adalah dakwah bagi mengajar umat Baginda beriktikaf dalam masjid dengan niat ingat kepada Allah iaitu `dzikru’llah’. Sebagaimana, Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang (Al-Ahzaab ayat 41-42).

Hadith Rasulullah SAW dan Firman Allah SWT membuatkan warga Kampong Kulapis dan Tanjung Nangka sangat merindui kewujudan masjid. Takdirnya dua buah masjid ini dibina pada tahun 2010, ini bererti Mukim Sengkurong mempunyai dua buah masjid yang baru untuk warga kedua-dua buah kampung ini beribadah kerana Allah. InsyaAllah, dengan terbinanya masjid-masjid baru di kampung-kampung dan pentingnya pendidikan agama (compulsory subject) di sekolah-sekolah rendah dan menengah akan pasti sebagai `antidot’ penyakit sosial dalam masyarakat kini.

Rujukan:
Al-Quran
Muntakhab Ahadith, (2004)
Borneo Bulletin, (27 January 2010)
Media Permata, (27 Januari 2010)
Pelita Brunei, (27 Januari 2010)

mdjr.alhaj@gmail.com