Hulu Sungai Damuan terletak di sebelah utara atau hampir tepat di `barat laut’ Kampong Kulapis. Panjang Sungai Damuan dari hulu hingga ke hilir ialah kira-kira 30 kilometer. Sungai Damuan adalah sebuah mekanisme perhubungan yang amat popular digunakan oleh para peniaga Brunei pada abad 10 hingga ke pertengahan abat 19. Sepanjang pingir Sungai Damuan terbentuk beberapa buah kampung, seperti Kampong Bebatik, Kampong Masin, Kampong Kilanas, Kampong Bengkurong, Kampong Tasik Meradun, Kampong Bunut dan lain-lain lagi. Setiap kampung ini mempunyai cara tersendiri untuk menyeberangi Sungai Damuan, ada yang menggunakan perahu, titi, dan jambatan untuk sampai ke sebuah kampung yang lain. Panjang atau besar sesebuah titi atau jambatan yang dibina tertakluk pada sais kecil (sempit) atau lebar Sungai Damuan. Sais sungai yang sempit memadai dengan membina sebuah titi sama ada yang diperbuat daripada buluh betung, batang nibung, batang pinang, batang kelapa atau batang kayu balak.
Kampong Kulapis (dulu Kampong Damuan) telah wujud beberapa abad yang lalu. Fizikal geografi kampung ini ditumbuhi oleh hutan tebal, terbentuk sebatang sungai, berbukit dan bertanah pamah sesuai untuk bertani. Bukit Panjang melahirkan sebuah hulu Sungai Damuan yang membekalkan sumber air utama untuk keperluan seluruh warga kampung. Air sungai diperlukan untuk mandi, mencuci, membasuh, memasak dan untuk minum. Warga kampung mengangkut air sungai ini ke rumah dengan menggunakan `tumpung’ dan `balatukan’ iaitu yang diperbuat daripada buluh tebal (betung). Ukuran tumpung ialah 1.8 ke 2.0 meter, dan balatukan 1.0 ke 1.2 meter panjang. Semua `buku buluh’ bahagian dalam tumpung dan balatukan ditebuk kecuali buku bahagian bawah (buntut) sahaja dikekalkan untuk menahan atau menakung air. Tumpung dan balatukan yang berisi air dipikul lebih kurang 60 darjah menegak agar air tidak tumpah. Kemudian air dari tumpung atau balatukan dituang ke dalam ipang (tajau), sebagai stok air minum dan juga untuk membasuh dan memasak. Tumpung biasanya dipikul oleh kaum lelaki atau perempuan dewasa, dan balatukan untuk para remaja lelaki dan perempuan. Tumpung dan balatukan tidak digunakan lagi pada pertengahan abad ke 19, dan pada abad ini saluran paip air dipasang ke rumah-rumah dengan menggunakan teknologi baru iaitu sistem `pump’ hinggalah ke hari ini. Akhirnya, tumpung dan balatukan lenyap dek teknologi baru yang lebih dinamik.
Titian Batang Kayu Dan Buluh.
Hulu Sungai Damuan sempit dan kira-kira 6 meter lebar. Di bahagian hulu, air tuhur (cetek) dan kadang-kadang `air dalam’ atau banjir apabila musim hujan. Walaupun cetek, tapi perlu ada titi untuk menyeberang sungai. Titi dibina oleh sukarelawan kampung tanpa sijil kejuruteraan, tanpa bajet, dan tanpa taksiran, mereka hanyalah berbekalkan ketulusan hati dan tenaga demi kemudahan seluruh warga kampung. Titian batang kayu atau buluh (betung) direntang di antara dua tebing sungai bagi memudahkan warga kampung menyeberang sungai. Titi yang direntang lengkap dengan `alik’ (susur tangan) buluh supaya pengguna titi dapat berpaut bagi mengelakkan jatuh ke sungai. Sebilangan kampung menggunakan titian buluh, kerana buluh ringan dan kukuh, dan bila-bila masa boleh diganti dengan buluh yang baru ditebang. Semua jenis titian kayu atau buluh perlu ada beberapa pasang tiang yang dibentuk seperti `X’, kemudian diikat menggunakan rotan supaya titian tidak tersasar atau dihanyutkan oleh air banjir, dan pengguna juga yakin dan selamat meniti titian. Pada hakikatnya, titi telah mewujudkan suasana interaktif bagi menjalin hubungan antara Kampong Kulapis dan kampung-kampung jiran yang lain.
Bailey Dalam Kenangan.
Jalan kecil Kulapis, Batong dan terus ke Panchur Murai telah dibina pada akhir tahun 1960, dan sekali gus titian buluh atau kayu diganti dengan jambatan kayu yang boleh dilalui oleh kenderaan roda empat. Sejak detik ini, wujudlah jambatan kayu di mana-mana kampung bagi mengambil alih peranan titi. Titi tidak digunakan lagi, dan terus menghilang bersama zaman silam dan pasti tidak akan kembali merentangi sungai Damuan. Jambatan mengukir sejarah baru lengkap dengan kertas cadangan, kontraktor, tender dan jurutera awam yang bertauliah bagi membina jambatan yang kukuh supaya jambatan yang dibina dapat bertahan sepanjang zaman, dan juga selesa digunakan oleh masyarakat kampung. Titi diganti dengan jambatan kayu. Jambatan kayu begitu selesa digunakan ketika itu, tetapi sering rosak dan runtuh dihanyutkan oleh air banjir. Satu ikhtiar lain, `jambatan bailey’, jambatan besi yang kukuh yang dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan dibina untuk mengganti jambatan kayu. Lapan buah jambatan bailey telah dibina di Mukim Sengkurong, dan satu diantaranya di Kampong Kulapis yang mula digunakan pada tahun 1984.
Jambatan Bailey Sengkurong B
Mengapakah jambatan besi ini dinamakan `Jambatan Bailey’? Semua orang tahu `jambatan’, tetapi, ramai orang yang kurang pasti makna `bailey’. Bailey ialah nama seorang pencipta `jambatan bailey’, satu sistem pembinaan jambatan `pasang siap’ yang menggunakan bahan-bahan siap terbina dan boleh dipasang oleh sesiapa saja tanpa mempunyai pengetahuan kejuruteraan. Nama penuh beliau ialah `Donald Coleman Bailey’ berasal dari Britain. Donald Coleman Bailey dilahirkan pada 15 September 1901 di Rotherham, Yorkshire dan beliau menuntut di University Sheffield. Di Universiti ini, beliau mendapat latihan dalam bidang `kejuruteraan awam’. Sebaik saja, Donald Bailey tamat pengajian professionalnya dari University Sheffield, beliau berkerja dengan Syarikat Kerita Api, dan tidak lama kemudian pada tahun 1929, beliau berkhidmat di Pusat Ujian Jambatan (Experimental Bridging Establishment). Donald Bailey bertugas sebagai jurutera di Jabatan Perang British semasa Perang Dunia II. Di Jabatan ini, Donald Bailey mencipta satu jenis jambatan yang ringan, kuat dan boleh membawa beban yang berat. Jambatan jenis pasang siap ini dicipta khas untuk kegunaan tentera pada tahun 1940.
Jambatan bailey adalah hasil ciptaan Donald Coleman Bailey, dan kerana jasa beliau itu diberikan anugerah `OBE’ (Order of the British Empire) pada tahun 1944. Pada tahun 1946, Donald diberikan anugerah yang membawa gelaran `Sir’. Pada tahun yang sama (1946) Sir Donald dilantik menjadi Timbalan Pengarah Pusat Ujian Kejuruteraan Tentera (Military Engineering Experimental Establishment), dan kemudian dilantik menjadi Pengarah pusat tersebut. Pada tahun 1952, Sir Donald menyandang Timbalan Ketua Pegawai Sains di Kementerian Perbekalan. Sir Donald meninggal dunia di Bournemouth, Dorset pada 5 Mei 1985.
Jambatan bailey digunakan merata tempat di dunia, termasuk Negara Brunei Darussalam. Jambatan bailey digunakan hampir tiga dekad di Kampong Kulapis, dan masa yang cukup lama berkhidmat untuk masyarakat kampung. Tetapi jambatan bailey kecil lebih kurang 3 meter lebar dan hanya dapat dilintasi kenderaan secara sehala dan bergilir-gilir. Pengguna jambatan bailey perlu ada sifat sabar dan bertolak ansur bagi menanti geliran menyeberang. Pendek kata, warga Kampong Kulapis biasa dengan situasi ini dan faham erti `tolak ansur’ dalam menggunakan jambatan bailey. Alhamdulillah, jambatan bailey memberi banyak manfaat kepada masyarakat kampung, terutama dari segi perkembangan sosio-ekonomi, sosial dan pendidikan. Walau bagaimanapun, di zaman milenium ini, jambatan bailey kurang sesuai dengan kehadiran kenderaan yang sering bertambah setiap tahun. Jambatan bailey yang kian lapuk (ketinggalan zaman) kini menutup lambaran perkhidmatannya dan diganti dengan jambatan baru yang konkrit dan selesa.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Donald_Bailey.
Haji Timor bin Haji Limbang (Ketua Kampung) – Sumber Maklumat, (2011).