Khamis, November 18, 2010

Syair Kampong Kulapis


Pada zaman dahulu kala,
Ada sebuah tempat pertemuan,
Tempat perniagaan pengalu kita,
Nama sebutan Sungai Damuan.

Damuan indah laila permai,
Berkat aman pertemuan peniaga,
Pertemuan pengalu kadayan ramai,
Merapatkan barangan beranika rupa.

Damuan menempah suatu kisah,
Kisah Sultan Omar Ali Saifuddin ke dua,
Haji Saman penasihat baginda turut gelisah,
Berkubu di Damuan menentang Inggeris jua.

Baginda sultan yang amat pemurah,
Laila lagi bijak bistari,
Membawa Inggeris bermuzakarah,
Baginda kembali ke persada negeri.

Tamatlah kisah habuan negeri,
Menjelang kisah tuah dan angai,
Peniaga terhadang ke Pangkalan Tinggi,
Lauk kulapis melambak di sungai.

Takutkan bala menimpa kampung,
Doa selamat buat pelindung,
Masyarakat berkumpul setiap tahun,
Akhirnya menjadi adat `makan tahun’.

Setiap musim mengetam padi,
Teratak dibina silih berganti,
`Makan tahun’ tetap abadi’
Disisip tahlil arwah dan doa tahlil kini.

Lauk kulapis menjadi cerita,
Cerita legenda ukir sejarah,
Banyak kampung mendengar berita,
Lauk kulapis membawa berkah.

Kedayan Damuan pandai mengalupis,
Kalupis dihidang buat tamuan,
Damuan jadi Kampong Kulapis.
Tinggallah nama Sungai Damuan.

Paparan kisah di hujung ramuan,
Ramuan pasti menjadi wadah,
Selesai sudah cerita Kampong Damuan,
Kampong Kulapis terus cipta sejarah.

Sejarah lama mengimbau ristaan,
Kadayan Kulapis terus berkembang,
Agama ada, tak kurang pendidikan,
Guru, murid tenaga penyumbang,

Ketua kampung, penghulu berjaga,
Masyarakat banyak berbudaya mulia,
Melawat berkunjung berdudun dihaga,
Berpaduan bersatu tanda bangsa setia.

Kerani, polis, tentera pun ada.
Dato, pehin, Kadayan ternama,
Pengarah, setiausaha tetap, menteri bergeliga,
Tiada kurang hak sesama.

Nah Kadayan Kulapis kini maju,
Atap rumbia, lantai buluh, tiang nibung,
Diganti dengan atap genting lantai batu,
Bukan ala, bukan jua ambung;
Berdiri sana sini rumah damit, basar bisai dan baru,
Hujan dan panas pasti tempat warga berlindung.

Kadai kadayan, takiding, bahai, lasuk berisi rezeki,
Usin banyak dapat bas, trak dan taksi,
Bali MERC, BMW, LEXUS tetap garini,
Hasil halal urusan kitani.

Rajin, titih didikan orang tua,
Buat kerja tidak berkala,
Gigih patuh jadi ketua,
Kadayan Berjaya sampai kandila.


Rabu, November 17, 2010

Bulan Ramadhan dan Syawal 1431

Assalamualaikum warga Kulapis, sudah lama kita tidak menerima info terkini, nampaknya kita sibuk dengan berbagai agenda dan rancangan pribadi masing-masing. Walau bagaimanapun, blog Kampong Kulapis cuba menghidangkan sedikit info di bulan Ramadhan dan Syawal 1431/2010 yang lalu.









Para jamputan



















Anak-anak yatim sedang menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh Ketua Kampong.

Alhamdulillah, pada 16 Ramadhan 1431H bersamaan pada 26 Ogos 2010M, Ketua Kampong Kulapis bersama MPK Kulapis mengadakan majlis sungkai (berbuka puasa) bersama anak-anak yatim Kampong Kulapis dan sekalis gus menyampaikan derma khas bagi keperluan `hari raya aidilfitri’ kepada anak-anak yatim tersebut di majlis itu yang diadakan di Restoran Soto Rindu, Sengkurong. Derma anak-anak yatim disampaikan oleh Ketua Kampong Kulapis.


Galeri
majlis anak yatim









Info kedua ialah `Majlis Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Semukim’ anjuran MPM dan MPK, Mukim Sengkurong pada 20 Syawal 1431H bersamaan pada 29 September 2010M di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong. Majlis bermula jam 7.45 malam. Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Hamid bin Bakal dan Datin. Pegawai Daerah Brunei Dan Muara dan Penolongnya, serta Pegawai-pegawai kanan kerajaan juga hadir bersama dalam majlis ini.

Ucapan mukadimah daripada Pengerusi, dan ucapan khas dari Tetamu Kehormat juga diutarakan dalam majlis ini, kemudian disusuli dengan doa kesyukuran.










Para Jemputan.

Kumpulan Nasyid.










Jemputan khas.


Awang Haji Musa bin Haji Tahir, Penghulu Mukim Sengkurong adalah selaku Pengerusi `Majlis Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Semukim’. Timbalan Pengerusi majlis ialah Haji Mat Serudin bin Haji Nasir dan dibantu oleh semua ketua kampung Mukim Sengkurong. Jawatankuasa sementara `Majlis Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Semukim, adalah dianggotai oleh Ahli-ahli Jawatankuasa MPM dan MPK Mukim Sengkurong. Majlis dimeriahkan oleh warga-warga dari tujuh buah kampung seperti Kampong Jerudong, Katimahar, Kulapis, Lugu, Malaut, Sengkurong A dan B, dan Tanjong Nangka. Majlis ini juga dihidangi dengan beberapa buah Lagu nasyid yang dipersembahkan oleh Kampong Malaut, Jerudong dan Sengkurong A dan B.



Pondok Juadah Kampong Kulapis


Galeri




Rabu, Jun 09, 2010

BUAH: Takanang Kala Buhani

Pondok












Pertengahan bulan September 2009, ramai warga Kampong Kulapis mendirikan pondok-pondok kekal atau semantara untuk tempat menjual buah-buahan hasil tanaman mereka. Buah-buahan dipetik atau dipungut dari pulau buah (dusun-dusun buah) persendirian yang berhampiran dengan rumah mereka dan juga hasil dari tanaman mereka di Bukit Panjang.











Membina pondok-pondok semantara ini memanglah menjadi aktiviti tahunan, tambah lagi jika dusun buah mereka menghasilkan pelbagai jenis buah-buahan seperti ambutan, langsat, tampoi, duyan kuning, duyan putih, duyan pulu, taap, kambayau, mahaau (buah mata kucing), balunu, binjai, dan mambangan. Ada beberapa jenis buah yang tidak dijual di pondok-pondok buah ini, seperti buah manungan dan buah patabu. Entah, beberap tahun yang lalu sampai hari ini, tidak lagi nampak buah `manungan’ dan buah `patabu’ di pondok, bangsal, atau di gerai buah-buahan di Kampong Kulapis. Buah manungan dan patabu adalah jenis liar dan bukan buah tanaman di dusun-dusun buah. Pokok buah manungan dan patabu adalah jenis menjalar atau jenis `parasit’ yang menumpang menjalar ke pokok-pokok lain. Pohon patabu lebih besar dibandingkan dengan pohon manungan, dan kedua-dua pokok ini adalah spesies yang sama jenis. Buah patabu besar, (kira-kira sebesar bola bowling) berwarna coklat muda, dan buah manungan seperti besar buah pear, dan buah manungan yang masak berwarna kuning. Kedua-dua jenis buah ini rasanya masam-masam manis.

Aktiviti
Ada lagi sejenis buah yang tidak ada dipasaran pondok-pondok buah di Kampong Kulapis. Buah ini di suatu ketika dulu pernah mewujudkan satu budaya yang harmoni di kalangan kanak-kanak dan para remaja Kadayan. Buah ini juga sering mendorong para remaja Kadayan kepada budaya `badudun’ atau budaya kunjung- mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai di sekitar kampung. Budaya badudun membangkitkan semangat bersepadu di antara remaja Kadayan ketika itu. Di saat inilah para remaja Kadayan secara spontan bermuzakarah untuk merancang kerja-kerja yang bermanfaat dan berkebajikan, misalnya, mangail, manyagang, atau manimba anak sungai untuk mudah menangkap lauk (ikan). Aktiviti menimba sungai perlu tenaga yang banyak serta berkumpulan, dan sifat koperatif mereka juga dapat menjayakan tugas berat yang mereka rancang.

Badudun
Aktiviti badudun kadang-kadang dijadualkan pada waktu malam. Pada waktu siang para remaja Kadayan sibuk mengurus dan membantu keluarga atau mereka mempunyai aktiviti masing-masing. Aktiviti mereka selain daripada mengail, menyagang dan menimba anak sungai ialah malastik, manggatah dan mamundul burung taipas, manjarat burung (punai, takukuu, paak dll) dan manjarat palanduk. Aktiviti-aktiviti ini dapat membantu dan menambah rezeki keluarga mereka, selain daripada mereka membantu di sawah menghalau ungas perosak padi (musim padi).

Malam, kira-kira jam 7.00, para remaja Kadayan lelaki dan perempuan mula mengurak langkah pergi badudun dan meninggalkan rumah masing-masing dengan menggunakan suluh `ugan’ (obor buluh) untuk menerangi malam yang gelap. Bunyi burung hantu, cengkerik, dan serangga-serangga lain memecah malam yang hening. Sinaran ugan membantu mereka menerangi alun-alun (sebatang jalan) yang kecil, mereka menyusuri jalan yang kecil ini berbaris sambil bercerita dan `bagalap’ (bergurau senda). Bagalap kadang-kadang mengundang perkelahian, tetapi jarang berlaku kepada anak-anak Kadayan, kerana mereka sering diperingatkan oleh sepotong ungkapan yang berbunyi, `Alap-alap (kunang-kunang) guguu ka tahi, kaang bagalap-galap jadi kalahi’. Ungkapan ini menjadi antidot kepada anak-anak Kadayan bagi menjauhi sifat emosional mereka. Anak-anak Kadayan takut dengan perkataan `tulah’ dan dari itu, mereka hormat dan akur dengan nasihat-nasihat orang-orang tua.
Buah Maitus









Mereka badudun secara berkumpulan ke suatu rumah yang telah dirancang atau disepakati terlebih awal, tetapi rumah yang sering diduduni (dikunjungi) ialah rumah ketua kampung. Di rumah ketua kampung terbahagi kepada beberapa aktiviti yang melibatkan orang-orang tua, dewasa dan anak-anak remaja lelaki dan perempuan. Orang-orang tua dan dewasa belajar agama, seperti solat, muqaddam dan al-Quran yang dipimpin oleh seorang guru agama (Ustaz Jaafar bin Abas, seorang guru agama dari Malaya mengajar di Sekolah Rendah Katimahar sebelah petang, dan malam, sebelum magrib beliau dengan suka rela datang ke Rumah Ketua Kampong, Haji Puasa bin Mohammad mengajar agama kepada orang-orang tua dan dewasa lelaki dan perempuan pada awal tahun 60an). Di ruang yang lain, anak-anak remaja bermain satu permainan yang disebut, `tilu, tilan, gulimang, bangkung’. Permainan ini sinonim dengan buah yang bernama `buah maitus’ (buah maritus). Buah maitus berbentuk bulat, lebih-kurang besar `bola tenis’, dan bijinya sama seperti biji buah kambayau, tetapi biji buah maritus lebih besar daripada biji buah kambayau. Buah maritus masak berwarna hijau muda, dilicit untuk mendapatkan bijinya. Biji buah maritus dan kambayau adalah berkulit keras dan isi biji kedua-dua buah ini berwarna putih (whitish compressed cotyledon), dan rasanya lemak.











Morfologi
Pokok maritus lebih besar dan tinggi daripada pokok kambayau, dan daun pokok maritus lebih-kurang sama besar seperti daun pokok kambayau. Lilitan batang maritus melebihi 6 meter, dan 60 hingga ke 80 meter tinggi. Di atas permukaan tanah, batang pokok maritus memberikan ketinggian bagi membenarkan cabang dahan dan ranting berdaun untuk mendapatkan cahaya matahari. Pokok maritus adalah daripada famili Dipterocarpaceae.



Pokok Maritus tinggi di tengah-tengah pokok lain.
Buah maritus adalah sebahagian daripada objek yang pernah membentuk budaya badudun di kalangan anak-anak remaja kadayan di Kampong Kulapis. Kini, buah maritus jarang kelihatan atau mungkin tidak akan kelihatan lagi. Tiada buah maritus, maka tiadalah permainan `tilu, tilan, gulimang, bangkung’. Budaya badudun juga turut hilang bersama buah maritus dan permianannya `tilu, tilan’ iaitu suatu permain yang harmonis dan koperatif di kalangan anak-anak Kadayan pada zaman dahulu kala.

Selasa, Mac 16, 2010

Negara Zikir: Pembinaan Sekolah Agama dan Masjid

Baginda bertitah, `adakah disebabkan masalah peruntukan atau memang sengaja di lambat-lambatkan'.

Allahuakhbar!.. Allahuakhbar!.. Allahuakhbar!..
Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam aman dan tenteram. Rakyatnya hidup harmoni dan kondusif. Semua ini hasil dari seorang Raja yang proaktif, produktif, kompetens, efektif, inisiatif, adil dan bijaksana memimpin rakyat, agama dan Negara. Antara lain inisiatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu`izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ialah membentuk sebuah `Negara Zikir’ yang membuka jalan kepada rakyat supaya senantiasa ingat dan bersyukur kepada Allah yang memberi rahmat-Nya. Baginda tidak diam dengan `slogan Negara zikir’ sahaja, baginda menaroka jauh bagi melihat nilai positif dan negatif beragama. Ternyata Baginda nampak banyak aspek kejengkelan berlaku di institusi-institusi kerajaan dalam hal ehwal keagamaan yang perlu ditinjau semula. Misalnya, Sistem SPN21 Kementerian Pendidikan membiarkan pelajaran agama sebagai subjek pilihan di sekolah-sekolah rendah dan menengah, Maktab Jururawat meniadakan pendidikan agama, Universiti dan Maktab kurang mementingkan pendidikan agama, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada suatu ketika mengadakan `gala night’ yang sedikit meninggalkan nilai-nilai murni agama islam. Pembinaan Sekolah Al-Falaah sangaja dilambat-lambatkan tanpa kajian dan alasan konkrit.

Perkara-perkara kejengkelan separa atau non-praktik pendidkan agama di institusi-institusi penting ini telahpun dibangkitkan oleh baginda semasa berangkat mengadakan lawatan kerja ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Sekolah Al-Falaah (SAF) pada 27 Januari 2010. Baginda juga menyentuh nilai sosial yang negatif, misalnya keruntuhan `akhlak manusia’ yang melibatkan hampir semua peringkat umur dan menjadi penyakit sosial dalam masyarakat umum di Negara Brunei Darussalam. Mengapa? Masalah ini berlaku dari efek selama 50 tahun, sistem persekolahan agama tidak wajib berlansung begitu saja tanpa membuat penyelidikan oleh pegawai-pegawai agama yang dipertanggungjawabkan, seperti yang disabdakan oleh Kebawah DYMM Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa lawatan kerja baginda ke KUPU SB dan SAF:

"Selama 50 tahun, sistem persekolahan agama tidak wajib, ini telah berlangsung, sedikit Beta ingin bertanya, pernahkah pihak berkenaan membuat kajian dan menjadikannya statistik?.

Hairan, selama 50 tahun Institusi seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, NB dan Institusi-institusi yang berkaitan dengan pendidikan agama ini, kurang inisiatif untuk membuat penyelidikan, walhal kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringit untuk pegawai-pegawai menimba ilmu bagi kepentingan agama dan Negara.

Lima puluh tahun bukanlah masa yang singkat. Masa 50 tahun yang panjang dan cukup dewasa ini membentuk tabiat `malas ku ingau’ di kalangan pegawai-pegawai kerajaran ataupun mereka dibuai dek gaji yang lumayan hingga lupa pada tugas-tugas Negara yang diamanatkan kepada mereka. Dilihat pada sudut lain bererti mereka juga kurang sifat insaniah dan tidak malu kepada Allah SWT atas pengabaian mereka selama 50 tahun itu.

Bukan Sekolah Al-Falaah saja yang menerima pengabaian pembinaannya, tetapi projek pembinaan beberapa buah masjid juga menerima nasib yang sama. Titah Baginda Sultan seperti:

"Projek pembinaan beberapa masjid telah pun dirancang bertahun-tahun dan bahkan telah masuk ke Majlis Agama Islam namun ia tidak lagi di dengar ceritanya."

Pengabaian pembinaan masjid inilah yang amat sangat mengecewakan warga Kampong Kulapis, dan sudah lebih 10 tahun, bak titah Baginda Sultan `terkatung-katung’. Tapak pembinaan masjid dikenal pasti dan tersedia untuk penempatan sebuah masjid yang diharapkan oleh warga kampung. Surat sokongan atau pemberitahuan bagi membina sebuah masjid Kampong Kulapis daripada pihak tertentu sudah diterima oleh Ketua Kampong Kulapis. Hanya Pembinaan masjid saja belum ditentukan oleh mana-mana pihak. Hari demi hari, menanti kontraktor pembinaan, belum juga muncul dan tapak masjid terus menghutan. Dalam penantian itu, satu persatu warga emas kembali dijemput Allah SWT sebelum terbinanya sebuah masjid yang pernah mereka perjuangkan untuk kewujudannya di kampung kelahiran mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan ahli-ahli Syurga. Amin, Amin, Amin YaRabal `Alamin. AL-FATIHAH.

Alhamdulillah, Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Ahli-ahli Lembaga Pengelola Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Bagi Daerah Brunei dan Muara (Sesi Kedua) pada 13 Mei 2009, di Mukim Sengkurong, warga Kampong Kulapis sedikit lega dan senyum, kerana dijanjikan bahawa masjid Kampong Kulapis akan mula dibina pada tahun 2010. Dalam masa yang sama warga Kampong Tanjung Nangka juga ikut bersyukur, kerana akan mempunyai masjid di tahun yang sama iaitu tahun 2010. Warga kedua-dua kampung ini sangat mengharapkan janji-janji itu menjadi kenyataan, dan harap bukan lagi `lips service’ dari pihak tertentu yang bermain sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negara Brunei Darussalam dengan tegas meminta perhatian dari semua pihak berkenaan, bahawa Baginda menggunakan dasar dakwah, nasihat dan mesyuarah ini bagi mengingatkan para pegawai yang memegang amanah kerajaan. Peringatan ini juga pasti dapat menghapuskan budaya `seperti pahat dengan penukul’ yang diamalkan di kalangan pegawai kerajaan.

Dasar dakwah ini patut diambil berat oleh pihak-pihak tertentu dengan tidak melengah-lengahkan pembinaan masjid-masjid yang telah diluluskan atau dijanjikan kepada kampung-kampung yang patut bermasjid. Masjid tetap memainkan peranan penting, kerana masjid adalah pusat dakwah yang terunggul sejak zaman Rassulullah SAW hinggalah ke zaman ini dan ke zaman-zaman seterusnya, iaitu selagi ada masjid yang berdiri serta bertambah bilangan pembangunannya. Beruntunglah kampung-kampung yang bermasjid sekurang-kurangnya warga kampung ada ruang untuk berdakwah, beribadah, berjemaah, beriktikaf dan beramal soleh bagi memakmurkan masjid-masjid mereka. Sesuai yang diamalkan oleh Rasulallah SAW, seperti cerita Ka’ab bin Malik bahawa kebiasaan Rasulallah SAW, ialah beliau akan pulang dari perjalanan pada waktu dhuha, dan apabila Baginda sampai, mula-mula beliau akan ke Masjid. Baginda akan menunaikan solat dua rakaat dan kemudiannya duduk di Masjid (HR Muslim). Hadith Rasulullah SAW ini adalah dakwah bagi mengajar umat Baginda beriktikaf dalam masjid dengan niat ingat kepada Allah iaitu `dzikru’llah’. Sebagaimana, Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang (Al-Ahzaab ayat 41-42).

Hadith Rasulullah SAW dan Firman Allah SWT membuatkan warga Kampong Kulapis dan Tanjung Nangka sangat merindui kewujudan masjid. Takdirnya dua buah masjid ini dibina pada tahun 2010, ini bererti Mukim Sengkurong mempunyai dua buah masjid yang baru untuk warga kedua-dua buah kampung ini beribadah kerana Allah. InsyaAllah, dengan terbinanya masjid-masjid baru di kampung-kampung dan pentingnya pendidikan agama (compulsory subject) di sekolah-sekolah rendah dan menengah akan pasti sebagai `antidot’ penyakit sosial dalam masyarakat kini.

Rujukan:
Al-Quran
Muntakhab Ahadith, (2004)
Borneo Bulletin, (27 January 2010)
Media Permata, (27 Januari 2010)
Pelita Brunei, (27 Januari 2010)

mdjr.alhaj@gmail.com