Rabu, Jun 09, 2010

BUAH: Takanang Kala Buhani

Pondok












Pertengahan bulan September 2009, ramai warga Kampong Kulapis mendirikan pondok-pondok kekal atau semantara untuk tempat menjual buah-buahan hasil tanaman mereka. Buah-buahan dipetik atau dipungut dari pulau buah (dusun-dusun buah) persendirian yang berhampiran dengan rumah mereka dan juga hasil dari tanaman mereka di Bukit Panjang.











Membina pondok-pondok semantara ini memanglah menjadi aktiviti tahunan, tambah lagi jika dusun buah mereka menghasilkan pelbagai jenis buah-buahan seperti ambutan, langsat, tampoi, duyan kuning, duyan putih, duyan pulu, taap, kambayau, mahaau (buah mata kucing), balunu, binjai, dan mambangan. Ada beberapa jenis buah yang tidak dijual di pondok-pondok buah ini, seperti buah manungan dan buah patabu. Entah, beberap tahun yang lalu sampai hari ini, tidak lagi nampak buah `manungan’ dan buah `patabu’ di pondok, bangsal, atau di gerai buah-buahan di Kampong Kulapis. Buah manungan dan patabu adalah jenis liar dan bukan buah tanaman di dusun-dusun buah. Pokok buah manungan dan patabu adalah jenis menjalar atau jenis `parasit’ yang menumpang menjalar ke pokok-pokok lain. Pohon patabu lebih besar dibandingkan dengan pohon manungan, dan kedua-dua pokok ini adalah spesies yang sama jenis. Buah patabu besar, (kira-kira sebesar bola bowling) berwarna coklat muda, dan buah manungan seperti besar buah pear, dan buah manungan yang masak berwarna kuning. Kedua-dua jenis buah ini rasanya masam-masam manis.

Aktiviti
Ada lagi sejenis buah yang tidak ada dipasaran pondok-pondok buah di Kampong Kulapis. Buah ini di suatu ketika dulu pernah mewujudkan satu budaya yang harmoni di kalangan kanak-kanak dan para remaja Kadayan. Buah ini juga sering mendorong para remaja Kadayan kepada budaya `badudun’ atau budaya kunjung- mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai di sekitar kampung. Budaya badudun membangkitkan semangat bersepadu di antara remaja Kadayan ketika itu. Di saat inilah para remaja Kadayan secara spontan bermuzakarah untuk merancang kerja-kerja yang bermanfaat dan berkebajikan, misalnya, mangail, manyagang, atau manimba anak sungai untuk mudah menangkap lauk (ikan). Aktiviti menimba sungai perlu tenaga yang banyak serta berkumpulan, dan sifat koperatif mereka juga dapat menjayakan tugas berat yang mereka rancang.

Badudun
Aktiviti badudun kadang-kadang dijadualkan pada waktu malam. Pada waktu siang para remaja Kadayan sibuk mengurus dan membantu keluarga atau mereka mempunyai aktiviti masing-masing. Aktiviti mereka selain daripada mengail, menyagang dan menimba anak sungai ialah malastik, manggatah dan mamundul burung taipas, manjarat burung (punai, takukuu, paak dll) dan manjarat palanduk. Aktiviti-aktiviti ini dapat membantu dan menambah rezeki keluarga mereka, selain daripada mereka membantu di sawah menghalau ungas perosak padi (musim padi).

Malam, kira-kira jam 7.00, para remaja Kadayan lelaki dan perempuan mula mengurak langkah pergi badudun dan meninggalkan rumah masing-masing dengan menggunakan suluh `ugan’ (obor buluh) untuk menerangi malam yang gelap. Bunyi burung hantu, cengkerik, dan serangga-serangga lain memecah malam yang hening. Sinaran ugan membantu mereka menerangi alun-alun (sebatang jalan) yang kecil, mereka menyusuri jalan yang kecil ini berbaris sambil bercerita dan `bagalap’ (bergurau senda). Bagalap kadang-kadang mengundang perkelahian, tetapi jarang berlaku kepada anak-anak Kadayan, kerana mereka sering diperingatkan oleh sepotong ungkapan yang berbunyi, `Alap-alap (kunang-kunang) guguu ka tahi, kaang bagalap-galap jadi kalahi’. Ungkapan ini menjadi antidot kepada anak-anak Kadayan bagi menjauhi sifat emosional mereka. Anak-anak Kadayan takut dengan perkataan `tulah’ dan dari itu, mereka hormat dan akur dengan nasihat-nasihat orang-orang tua.
Buah Maitus









Mereka badudun secara berkumpulan ke suatu rumah yang telah dirancang atau disepakati terlebih awal, tetapi rumah yang sering diduduni (dikunjungi) ialah rumah ketua kampung. Di rumah ketua kampung terbahagi kepada beberapa aktiviti yang melibatkan orang-orang tua, dewasa dan anak-anak remaja lelaki dan perempuan. Orang-orang tua dan dewasa belajar agama, seperti solat, muqaddam dan al-Quran yang dipimpin oleh seorang guru agama (Ustaz Jaafar bin Abas, seorang guru agama dari Malaya mengajar di Sekolah Rendah Katimahar sebelah petang, dan malam, sebelum magrib beliau dengan suka rela datang ke Rumah Ketua Kampong, Haji Puasa bin Mohammad mengajar agama kepada orang-orang tua dan dewasa lelaki dan perempuan pada awal tahun 60an). Di ruang yang lain, anak-anak remaja bermain satu permainan yang disebut, `tilu, tilan, gulimang, bangkung’. Permainan ini sinonim dengan buah yang bernama `buah maitus’ (buah maritus). Buah maitus berbentuk bulat, lebih-kurang besar `bola tenis’, dan bijinya sama seperti biji buah kambayau, tetapi biji buah maritus lebih besar daripada biji buah kambayau. Buah maritus masak berwarna hijau muda, dilicit untuk mendapatkan bijinya. Biji buah maritus dan kambayau adalah berkulit keras dan isi biji kedua-dua buah ini berwarna putih (whitish compressed cotyledon), dan rasanya lemak.











Morfologi
Pokok maritus lebih besar dan tinggi daripada pokok kambayau, dan daun pokok maritus lebih-kurang sama besar seperti daun pokok kambayau. Lilitan batang maritus melebihi 6 meter, dan 60 hingga ke 80 meter tinggi. Di atas permukaan tanah, batang pokok maritus memberikan ketinggian bagi membenarkan cabang dahan dan ranting berdaun untuk mendapatkan cahaya matahari. Pokok maritus adalah daripada famili Dipterocarpaceae.



Pokok Maritus tinggi di tengah-tengah pokok lain.
Buah maritus adalah sebahagian daripada objek yang pernah membentuk budaya badudun di kalangan anak-anak remaja kadayan di Kampong Kulapis. Kini, buah maritus jarang kelihatan atau mungkin tidak akan kelihatan lagi. Tiada buah maritus, maka tiadalah permainan `tilu, tilan, gulimang, bangkung’. Budaya badudun juga turut hilang bersama buah maritus dan permianannya `tilu, tilan’ iaitu suatu permain yang harmonis dan koperatif di kalangan anak-anak Kadayan pada zaman dahulu kala.

2 ulasan:

  1. buah pasik naada kah d kg kmu....kan pupus udh buah atu....yg mcm tampui tapi damit bejuntai mcm ambai kalau msk warna kuning..asa nya manis kalau cukup msk...

    BalasPadam